RAHSIA (BAB 8)

BAB 8 : KONFLIK
“Abang pergi mana semalam? Satu malam abang tak balik rumah? Dah tak ingat rumah ke?” teriak Anis.
Amran yang diam seribu bahasa hanya melangkah menuju ke bilik sambil menundukkan kepada. Dia berasa penat untuk bergaduh dengan Anis. Anis yang mengekori Amran dari belakang masih memarahi Amran tanpa henti.
“Apa yang abang buat dekat luar tu? Abang ada pompuan lain ke? Abang cakap abang. Jangan nak diam je macam ni.”marah Anis lagi.
Amran begitu bersabar dengan karenah Anis selama ini. Dia cukup sabar dengan tingkah laku Anis yang tidak penah mengambil peduli akan dirinya. Jika dilihat daripada luar, Amran mempunyai sebuah keluarga yang cukup sempurna yang diinginkan oleh keluarga yang lain.
Namun, kenyataannya keluarga Amran tidaklah sebahagia yang dilihat. Amran dan Anis sering sahaja bertegang urat sesama sendiri walaupun dengan perkara yang kecil. Sikap yang mudah mencemburui membuatkan keadaan keluar mereka semakin retak tahun demi tahun.
Anis sering mempunyai sikap yang tidak puas hati kepada Amran. Dia sering merasakan Amran mempunyai perempuan simpanan di luar. Amran sering menjelaskan kepadanya dia tidak pernah menduakan Anis selama ini. Tetapi kejujuran yang diberikannya kepada Anis dan keluarga tidak pernah dipandang.
Amran sering keliru dengan sikap Anis itu. Anis sedar bahawa di sering mengikuti Amran kemana sahaja Amran pergi akan tetapi dia masih menganggap bahawa Amran tidak setia dengan ikatan perkahwinannya itu. Amran sering berasa seperti sudah tidak tahan dengan sikap Anis yang sering cemburu tanpa usul periksa terlebih dahulu.
Amran yang sudah tidak tahan dengan kata-kata Anis yang memarahi dirinya mulai menunjukkan kemarahannya.
“Awak nak apa sekarang ni? Saya banyak kerja dekat pejabat tu. Baru sekali ini saya tak balik. Saya semalam dekat pejabat sibuk siapkan kerja saya, tapi awak selalu bersikap buruk pada saya.” teriak Amran kembali.
Anis yang betul-betul berada dibelakang Amran tersentak dengan teriak Amran. Dia tidak pernah mendengar Amran berteriak memarahinya walaupun Anis sering meninggikan suaranya kepada Amran. Amran sering mendiamkan diri apabila Anis memarahinya selama ini.
“Tak cukup ke dengan apa yang saya lakukan dengan awak selama ni? Saya diam je bila awak tak pernah hormat saya sebagai suami. Tak pernah menjadi isteri yang baik kepada saya. Awak terlalu sibuk dengan aktiviti persatuan awak.”
“Ye memang awak sebagai isteri menyediakan semua keperluan yang saya ingini. Tapi awak tak pernah nak hormat saya. Awak ingat saya ni siapa yang boleh awak naikkan suara sesuka hati.” tambah Amran.
Amran melangkah pergi menuju ke bilik air meninggalkan Anis yang mulai teresak selepas mendengar kata-kata Amran yang tidak pernar dia dengar sepanjang dia mendirikan rumah tangga dengan Amran. Anis sebelum begitu tertarik dengan sikap Amran yang begitu pendiam dan ini yang menyebabkan Anis menerima Amran menjadi suaminya.
Amran yang selesai mengantikan pakaian mulai keluar dari bilik air tanpa mengeluarkan sebarang suara. Amran yang begitu marah dengan sikap Anis tidak mempedulikan Anis yang sedang duduk terdiam menahan esakan tangisan. Amran pergi meninggalkan rumah dalam keadaan yang masih hampa dan marah dengan sikapnya yang tidak pernah mempercayainya.
Fikiran Amran yang masih serabut mulai memikirkan Adam. Amran mengetahui bahawa hanya Adam sahaja yang mampu menenangkan perasaan marahnya itu. Hanya Adam sahaja yang memahami dirinya itu. Lantas Amran terus memecut keretanya untuk menjemput Adam yang sedang menunggunya.
Cahaya matahari yang hampir tenggelam membuatkan hati anis begitu tenteram. Dia membayangkan semua masalah antara dia dan Amran hilang dibawa bersama tenggelamnya matahari senja. Namun, dia sedar bahawa masalah itu tidak akan hilang dan akan kembali semula membelenggu fikirannya.
Anis sedar bahawa pergolakkan yang berlaku dalam perkahwinannya adalah berpunca dari dirinya sendiri. Dia mengetahui bahawa dia tidak pernah melayani Amran dengan begitu baik seperti isteri-isteri lelaki lain. Tetapi dia mengetahui bahawa dia amat mencintai suaminya itu lebih dari apa pun.
Anis masih menyayangi keluarganya itu. Namun jauh disudut hatinya dia merasakan perasaan kasih dan sayang yang dipupuk sejak mereka berkahwin semakin hilang dari hatinya. Dia merasakan bahawa perasaannya yang dulu mencintai Amran dengan sepenuh hati hari demi hari semakin lenyap dari fikirannya.
Anis menyedari dia sepatutnya mencuba untuk menghindari situasi ini daripada berlaku untuk memastikan keluarganya terus bersama dan tidak berpecah belah. Terlintas di fikiran Anis apa yang akan berlaku kepada kedua-dua anaknya sekiranya terjadi sesuatu kepada hubungan Anis dan Amran. Adakah hidup mereka akan menjadi porak peranda atau masih sama seperi dulu. Anis amat keliru dengan perasaannya itu.
Anis perlu jujur dengan hatinya sendiri bahawa dia mengetahui bahawa suaminya itu tidak pernah mencintainya sejak mereka berumah tangga. Hati Anis terasa bagaikan dicarik-carik apabila mengetahui bahawa lelaki yang dia sayangi dan cintai selama ini merupakan seorang lelaki homoseksual.
Anis mengaku bahawa perasaan cinta dan sayangnya kepada Amran semakin pudar hari demi hari sejak dia mengetahui perkara itu. Dia sedar bahawa dia tidak akan dapat mengembalikan suaminya yang dahulu yang begitu menyayanginya. Walaupun dia mengetahui bahawa sayang suaminya itu bukanlah seratus peratus untuknya.
Sebelum ini Anis tidak mengetahui keadaan sebenar suaminya itu kerana dari pandangannya gaya Amran yang gentlemen membuatkan Amran kelihatan seperti lelaki biasa. Walau bagaimanapun, Anis menyedari sesuatu yang lain  tentang Amran yang tidak ada kepada lelaki lain. Anis menyedari bahawa lirikan mata Amran kelihatan berbeza ketika melihat lelaki lain. Anis melihat lirikan mata itu seperti seorang wanita yang melihat lelaki yang tampan.
Setelah itu, Anis mula memerhatikan setiap tingkah laku Amran dari segi pertuturan dan pemakaian. Amran merupakan seorang lelaki yang terlalu mengambil berat akan rupa parasnya dan juga bentuk tubuh badannya. Tidak hairanlah bagaimana Amran masih boleh mengekalkan bentuk tubuh badannya walaupun umurnya sudah menjangkau angka empat.
Sejak itu, Anis mencuba sedaya upaya untuk menjauhkan dirinya daripada Amran. Tetapi dia tidak sanggup untuk melihat Amran terkapai-kapai untuk hidup seorang diri. Lantas Anis masih menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri kepada Amran walaupun jauh dihatinya dia merasakan sakit apabila memainkan watak yang dia harap dapat dihentikan dengan segera. Anis hanya memikirkan perasaan anaknya sekiranya mereka mengetahui perkara sebenar yang berlaku. Anis tidak mahu mereka merasa malu dengan keadaan Amran sekarang.
Anis mula menyertai persatua-persatuan yang melibatkan golongan kaum ibu untuk menjauhkan dirinya dari Amran dan tidak hairanlah Amran mulai rasa tersisih sejak dia menyertai persatuan itu kerana itulah yang diinginkan oleh Anis.
Petang itu bagaikan begitu cepat berlalu ketika fikiran Anis melayang memikirkan kisah hidupnya yang begitu pahit untuk ditelan oleh seorang wanita yang bergelar isteri. Namun, Anis tidak pernah menjatuhkan hukuman kepada Amran atas apa yang terjadi kepada dirinya dan juga pada keluarga. Bagi Anis, apa yang terjadi kepada Amran tidak diminta sendiri oleh Amran. Anis percaya bahawa sekiranya Amran dapat menghindari perasaannya itu, Amran pasti akan cuba. Akan tetapi semua itu tidak mampu dilakukan walau apa pun cara.
 Anis memandu untuk pulang ke rumah seperti biasa walau hati dan fikirannya masih tidak tenang dan masih dibebani dengan pelbagai masalah.



Comments

Popular Posts